Axon Jadikan Malaysia Pusat Pembangunan Sumber Manusia 14/11/2005
Ekonomi, Berita Harian Online
AXON Solutions Ltd, perunding transformasi perniagaan global berdasarkan teknologi perisian SAP dari United Kingdom, akan menjadikan Malaysia pusat pembangunan sumber manusia bagi pelanggannya di Eropah, Amerika dan Asia Pasifik. Bagi tujuan itu, Axon bulan lalu memeterai perjanjian dengan SAP Malaysia sebagai rakan kongsi eksklusif menjalankan program pendidikan, SAP Solution Academy di Malaysia untuk mengeluarkan lebih ramai pekerja teknologi Malaysia yang berkemahiran dalam perisian SAP.
Ketua Pegawai Operasi Axon, Stephen Cardell, berkata SAP Solution Academy akan membangunkan sekumpulan kakitangan berkemahiran dalam pelaksanaan SAP yang sekali gus dapat meningkatkan tahap piawaian perunding SAP di pasaran.
“Kumpulan dari Malaysia ini akan bertanggungjawab memberikan perkhidmatan di pasaran kami di benua Eropah, Amerika dan Asia Pasifik yang semakin berkembang,” katanya dalam satu temu bual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam.
Cardell berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam mengembangkan perniagaan Axon berdasarkan prasarana teknologi maklumatnya yang maju, bilangan pekerja mahir yang ramai dan sokongan kerajaan dalam pembangunan sektor teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) serta persekitaran yang mesra perniagaan.
“Selain itu, kos menjalankan perniagaan di Malaysia secara relatifnya lebih rendah jika dibandingkan dengan India dan China yang menjadi tumpuan banyak syarikat global lain untuk beroperasi di sana,” katanya.
Berdasarkan faktor itu, Cardell berkata, Malaysia juga akan menjadi pusat bagi operasi perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar syarikat itu.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) dan institusi pengajian tinggi tempatan bagi meningkatkan tahap kemahiran pekerja IT tempatan.
Selain itu, Cardell berkata, tahun ini saja, operasi Axon di Malaysia mencatatkan jualan kira-kira RM100 juta daripada jualan keseluruhan Axon di peringkat global yang berjumlah RM650 juta.
“Kami juga menjangkakan jumlah pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Axon di Malaysia akan meningkat sekali ganda tahun depan daripada 23 syarikat sekarang,” katanya.
Antara pelanggan utamanya di Malaysia ialah Hitachi, Smart Modular, Guiness Anchor Breweries, Pos Malaysia, e-Genting dan Malaysia Airports.
Sejak menubuhkan ibu pejabatnya di negara ini April tahun lalu, Axon telah mengalami pertumbuhan dari segi pertambahan kakitangan daripada hanya 20 kepada 175 pada masa ini dan dijangka mencecah 200 kakitangan menjelang 2006.
“Malaysia penting bagi operasi global Axon yang mana kakitangannya merangkumi 20 peratus daripada jumlah kakitangan Axom di peringkat global,” katanya. |